REAL Madrid telah melengkapkan pembelian pemain tengah kebangsaan England, Jude Bellingham, daripada Borussia Dortmund dengan kontrak selama enam tahun.

Dortmund mengesahkan dalam satu kenyataan minggu lalu bahawa Real telah bersetuju untuk membayar EURO103 juta (GBP88.5 juta) untuk mendapatkan Bellingham, yang berpindah ke Jerman dari Birmingham pada 2020.

Kini kedua-dua kelab telah mengumumkan perjanjian untuk pemain berusia 19 tahun itu telah dimuktamadkan, dengan Real menambah bahawa ia akan diumumkan di ibu negara Sepanyol esok.

“Real Madrid CF dan Borussia Dortmund telah bersetuju mengenai perpindahan pemain Jude Bellingham, yang akan kekal dikaitkan dengan kelab kami untuk enam musim akan datang,” menurut kenyataan Real.

“Esok di Real Madrid City, majlis bagi memperkenalkan Jude Bellingham sebagai pemain baharu Real Madrid akan berlangsung.

“Selepas itu, Jude Bellingham akan muncul di hadapan media.”

Bellingham baru-baru ini dinobatkan sebagai pemain terbaik Bundesliga musim ini selepas peranannya bersama Dortmund, yang terlepas gelaran liga pada hari terakhir musim 2022-2023.


Dia menjaringkan gol pertama England dalam kemenangan Piala Dunia ke atas Iran tetapi tidak menyertai skuad untuk menentang Malta dan Macedonia Utara dalam kelayakan Euro 2024 yang akan datang kerana kecederaan.

Dia telah lama mengimpikan untuk berpindah ke juara Eropah 14 kali itu dan baru-baru ini memberitahu agensi berita PA bahawa dia melihat Liga Juara-Juara sebagai 'kejuaraan paling terbesar'.

"Matlamatnya adalah menang," katanya kepada PA bulan lalu.

“Apabila anda bertanya kepada saya apa cita-cita terbesar saya dalam permainan, ia adalah untuk memenangi segala-galanya. Dan saya tidak takut untuk mengatakannya.

"Anda tahu, semua orang sepatutnya mempunyai matlamat itu sebagai pemain bola sepak profesional."